Sunday, October 31, 2010

Surat Cinta Untuk Jiwa


surat cinta untuk jiwa..

Surat ini ku tujukan untuk diriku sendiri

serta sahabat-sahabat tercintaku
yang insyaAllah tetap mencintai Allah dan Rasul-Nya di atas segalany, kerana hanya cinta itu yang dapat mengalahkan segalanya, cinta hakiki yang membuat manusia melihat segalanya dari sudut pandangan yang berbeza, lebih bermakna dan indah..

Surat ini ku tujukan untuk hatiku dan hati sahabat-sahabat tercintaku yang kerap kali terisi oleh cinta selain dari-Nya, yang mudah sekali terlena oleh indahnya dunia, yang terkadang melakukan segalanya bukan kerana-Nya, lalu di ruang hatinya yang kelam merasa senang jika dilihat dan dipuji orang, entah di mana keikhlasannya. Maka saat merasakan kekecewaan dan kelelahan kerana perkara yang dilakukan tidak sepenuhnya berlandaskan keikhlasan, padahal Allah tidak pernah menanyakan hasil. Dia akan melihat kesungguhan dalam berproses..

Surat ini ku tujukan pula untuk jiwaku
serta jiwa sahabat-sahabat tercintaku yang mulai lelah menapak jalan-Nya ketika seringkali mengeluh, merasa dibebani bahkan terpaksa untuk menjalankan tugas yang sangat mulia. Padahal tiada kesakitan, kelelahan serta kepayahan yang dirasakan oleh seorang hamba melainkan Allah akan mengampuni dosa-dosanya..

Surat ini ku tujukan untuk ruh-ku
dan ruh sahabat-sahabat tercintaku yang mulai terkikis oleh dunia yang menipu, serta membiarkan fitrahnya tertutup oleh maksiat yang dinikmati, lalu di manakah kejujuran diletakkan? Dan kini terabailah sudah nurani yang bersih, saat ibadah hanyalah sebagai rutin belaka, saat jasmani dan fikiran disibukkan oleh dunia, saat wajah menampakkan kebahagiaan yang penuh kepalsuan. Cuba lihat disana! Hatimu menangis dan meranakah?..

Surat ini ku tujukan untuk diriku dan diri sahabat-sahabat tercintaku yang sombong, yang terkadang bangga pada dirinya sendiri. Sungguh tiada satu pun yang membuat kita lebih di hadapan-Nya selain ketakwaan.. Padahal kita menyedari bahawa tiap-tiap jiwa akan merasakan mati, namun kita masih bergelut terus dengan kefanaan..

Surat ini ku tujukan untuk hatiku
dan hati sahabat-sahabat tercintaku yang mulai mati, saat tiada getar ketika asma Allah disebut, saat tiada sesal ketika kebaikan berlalu begitu sahaja, saat tiada rasa takut pada-Nya ketika maksiat dilakukan, dan tiada merasa berdosa ketika menzalimi diri sendiri dan orang lain..

Akhirnya surat ini ku tujukan untuk jiwa yang masih memiliki cahaya..
meskipun sedikit, jangan biarkan cahaya itu padam. Maka terus kumpulkan cahaya itu hingga ia dapat menerangi wajah-wajah di sekeliling, memberikan keindahan Islam, yang sesungguhnya hanya dengan kekuatan dari-Nya, "Ya..Allah yang maha membolak-balikkan hati, tetapkan hati ini pada agama-MU, pada taat kepada-Mu dan dakwah di jalan-Mu"..


Hadis : Nilai Korban Dan Solat Jumaat
Hadis :
Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:"Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah (mandi dengan membersih seluruh tubuh badan), kemudian dia pergi ke Jumaat (solat Jumaat) (sebagai orang yang pertama sampai) maka sama halnya seperti orang yang berkorban seekor unta; dan sesiapa yang datang sebagai orang kedua, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor lembu betina; sesiapa yang datang sebagai orang ketiga, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor biri-biri bertanduk; sesiapa yang datang sebagai orang keempat, sama halnya dengan seorang yang berkorban seekor ayam; dan sesiapa yang datang sebagai orang kelima; sama halnya dengan orang yang berkorban dengan sebutir telur. Apabila imam telah menaiki mimbar maka para malaikat yang hadir juga ikut mendengar khutbah." (Bukhari)

Huraian :
Allah menetapkan kelebihan tertentu pada tempat dan masa. Contohnya Allah melimpahkan berkat-Nya terhadap Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah daripada segala tempat lain di dunia ini. Begitu juga dengan kelebihan masa iaitu Allah SWT telah melebihkan Ramadhan daripada segala bulan yang lain dan Allah juga melebihkan hari Jumaat daripada segala hari yang lain dalam seminggu. Hari Jumaat juga dinamakan 'Yaumul-mazid' iaitu hari pemberian tambahan kerana pada hari berkenaan, Allah mengurniakan rahmat yang banyak kepada hambanya. Segala permohonan seseorang hamba itu akan dikabulkan sekiranya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan 'waktu mustajab'. Betapa mulianya hari Jumaat ini hingga Allah juga mensyariatkan agar dikerjakan solat khusus pada hari tersebut iaitu yang dinamakan solat Jumaat di mana bagi setiap orang yang pergi menunaikan solat tersebut disediakan ganjaran yang amat besar yang tidak ada pada hari-hari yang lain. Tetapi malang sekali ada juga antara kita yang berasakan hari Jumaat adalah sama seperti hari-hari lain. Ini menyebabkan mereka mengisi hari tersebut dengan hati yang kosong, tanpa doa dan harapan kepada pencipta-Nya. Lebih malang lagi, ada pula yang sanggup meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja, tanpa rasa berdosa kepada Allah SWT. Golongan ini bukan sahaja lupa pada kewajipan mereka terhadap Allah, malah mereka lupa pada azab Allah yang bakal menimpa. Jauh sekali ingin meraih seribu satu keuntungan daripada kemuliaan hari tersebut.

Sunday, October 24, 2010

Sang Arnab dan Sang Kura-Kura The Return

30 tahun lalu, Sang Arnab kalah dalam perlumbaannya dengan Kura-Kura. Sang Arnab sangat malu bukan kepalang akibat sifatnya yang bongkak itu. Sampaikan kisah kekalahannya di tayangkan berulang kali di Stesen TV Sang Kancil yang kuat menipu itu.

Mujurlah Sang Arnab itu kuat larinya. Boleh lah lari jauh membawa dirinya yang telah malu itu ke benua yang lain.

Di benua baru itu, Sang Arnab bermuhasabah diri sedalam-dalamnya. Mengalir air mata keinsafan di matanya yang memang berwarna merah sejak azali.

Di sanalah Sang Arnab menemui kehidupannya yang baru. Sang Arnab telah ditemukan pasangannya di bumi hijrahnya itu.

Lahirlah Anak Sang Arnab yang selayaknya dipanggil Sang Arnab juga. Sang Arnab mendidik Anak Sang Arnab menjadi makhluk yang tawaduk agar tidak mengulangi kesilapan sepertinya.

Sampailah satu ketika anak Sang Arnab meminta izin untuk mengembara. Mahu juga dia melihat kampung halaman tempat 'Abi'nya diaibkan yang sebenarnya memang akibat bongkak 'Abi'nya dahulu. Sememangnya Sang Arnab sangat2 menyesali hidup silamnya,tiada apa yang disorok untuk anaknya, semata-mata mahu anaknya mengambil pelajaran.

Dengan fitrah arnab kurniaan Pencipta, sekejap saja, sampai lah anak sang arnab ke kampung lama Abinya dahulu. Dan nak disedapkan cerita, berjumpalah Anak Sang Arnab dengan generasi baru sepertinya, Anak Sang Kura-Kura. Dah dapat gelaran baru sebenarnya, Dato' Sang Kura-Kura.

Anak Sang Arnab gembira berjumpa generasi sebayanya. Niat di hatinya, dengan generasi baru ini, lupakan saja perbezaan bapak-bapak mereka yang melarat 30 tahun lamanya. Berkawanlah yang lebih baik untuk dia dan anak Sang Kura-Kura.

Akan tetapi, Anak Sang Kura-Kura sudah lupa diri. Atau dia memang tak tahu bagaimana sebenarnya abahnya yang lembap itu boleh menang. Entahlah..

Abahnya seorang wira, abahnya dah dapat dato'. Apa kelasnya nak berkawan dengan Anak Sang Arnab yang kalah ini? Dah la kalah, berdosa pula tu, bongkak!!! Terkejut besar Anak Sang Arnab atas penolakan persahabatan oleh Anak Sang Kura-Kura.

Persahabatan yang dihulurkan, perlawanan pula yang di balas. Sang Kura-Kura mencabar Sang Arnab berlumba dengannya Seperti bapak-bapak mereka dahulu. Anak Sang Arnab yang telah dididik Abinya menjadi seorang yang tawaduk, menolaknya dengan baik. Tetapi dengan kuasa Anak Dato' yang dimiliki Anak Sang Kura-Kura, perlawanan paksa itu tetap diadakan juga. Terpaksalah Anak Sang Arnab memenuhinya demi menjaga adab di tempat orang.

Dengan Tembakan Pistol pengampu-pengampu anak Dato' Kura-Kura itu, berlumbalah mereka di atas trek yang sama digunakan ayah-ayah mereka 30 tahun dahulu. Dan zaman telah berubah. Allah Maha Penerima Taubat. Allah senantiasa membela yang benar.

Dengan Penuh rasa kehinaan kerana merasa dirinya adalah hamba, Anak Sang Arnab berlumba dengan penuh fokus. Sementara Anak Sang Kura-Kura yang pada mulanya bongkak di awal perlumbaan kini berlumba dengan penuh susah payah dan kehairanan, hakikatnya fitrahnya yang lembap itu memang tidak boleh berlari laju pun!!!

Tersenyum saja generasi bapak-bapak mereka yang menonton perlumbaan itu. 30 tahun dahulu, bapa Sang Kura-Kura menang perlumbaan bukan kerana berapa laju dia lari, tetapi kerana tingginya tawaduk bapanya.

Hari ini, alangkah malangnya. Anak Kura-Kura tidak kenal dirinya, dia lupa kekalahan Sang Arnab dahulu adalah kerana sifat bongkaknya. Hari ini, kekalahan itu berbalik kepada dirinya, beralaskan sifat yang sama, sifat bongkak yang melampau.

Moral 1: Jangan bangga sangat dengan pencapaian keturunan kita. Hakikatnya kita sendiri belum tentu boleh atau tidak member pencapaian yang sama.

Moral 2: Orang agresif yang bertaubat insyaAllah berpotensi menjadi manusia yang lebih hebat asalkan ditambah lagi dengan sifat tawaduk.

Moral 3: Kenali diri anda.

Moral 4: Orang yang sudah la lemah, bongkak pula. Memang mengundang kemurkaan Allah..

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud, "DAN janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri." (Luqman: 18)

Monday, October 18, 2010

Doaku Buatmu..

Segala puji bagi Allah SWT,Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang .Assalamualaikum w.b.t

Di sini ada sebuah cerita yang menarik..Mari Hayati Cerita ini...

Ahmad dan Ali adalah 2 orang sahabat baik dan berjiran. Kedua-dua mereka hidup dalam kesusahan dan kemiskinan. Setelah seharian berusaha, masing-masing akan berdoa.Begitulah kelaziman mereka berdua. Mereka akan singgah di masjid setiap kali lepas bekerja untuk solat dan doa. "Apa doamu hari ni?" Tanya Ahmad kepada sahabatnya. "Aku pinta bahawa esok hari aku dimurahkan rezeki. Bulan ini perbelanjaan ku lebih daripada biasa." Jawab Ali. "Doa kau?" Ali pula bertanya. Ahmad cuma senyum tanpa berkata apa-apa.

Keesokan harinya, Ali memberitahu Ahmad berita gembira. "Alhamdullilah, doa aku semalam dimakbulkan Allah.Majikanku beri bonus pada hari ini" "Alhamdulillah, Hari ini ko akan berdoa apa pula??" Tanya Ahmad. "Aku berdoa bahawa moga isteriku cepat besalin," Jawab Ali. Mereka berdua pun masuk ke masjid ,mengerjakan solat dan masing-masing berdoa. Sejurus usai berdoa Ali bertanya, "Kau berdoa apa pula untuk hari ini?" Ahmad senyum.Masih tiada jawapan.

Beberapa hari kemudian, Ali memberitahu berita gembira. "Syukur isteriku selamat bersalin malam tadi.Nampaknya doaku makbul, Mad" "Tahniah Ali" "Aku berdoa juga bahawa anakku selamat" kata Ahmad dengan wajah suram. "Kenapa dengan anak kau?" "Anakku yang bongsu sakit,Ali. Keadaannya amat membimbangkan." "InsyaAllah,kau doalah kuat-kuat sikit.Minta anakmu selamat,"Kata Ali. Beberapa hari kemudian, mereka berbual seusai solat seperti kebiasaannya. "Bagaimana dengan anak kau? " Tanya Ali. "Macam itu juga,Sudah beberapa hari tapi keadaanya cuma bertambah baik sedikit sahaja." "Doa banyak lagi Ahmad. Aku tidak sangka doaku sangat makbul.Hampir setiap yang aku doakan mustajab. Tapi kau....."Kata Ali. "Kenapa dengan aku?" "Mad,aku lihat doamu tidak mustajab." Ahmad tersenyum. Melihat Ahmad tersenyum,Ali semakin hairan lalu bertanya lagi. "Aku hairan, doa kau tidak makbul tapi kau masih boleh senyum?.."

"Sebenarnya doaku telah banyak dimakbulkan Allah.Syukur alhamdullilah." "Doa yang mana? Sebab aku tidak lihat ada apa-apa perubahan pada kau." "DOAKU sejak dulu hanya utk kau SAHABATKU. Setiap hari aku berdoa agar Allah makbulkan apa yang kau doakan kepada-NYA" Fikir-fikirkan la sahabat-sahabat ku..Doa kita untuk orang lain sangat tinggi nilainya di sisi Allah.Apatah lagi tanpa pengetahun orang yang kita doakan,Itulah Keikhlasan..

Saturday, October 9, 2010

Wasiat Imam Syafie

Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:
"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara".

1) HAK KEPADA DIRI
mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

2) HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
mengqada kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan daripada orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada ALLAH.

3) HAK KEPADA KUBUR
membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan Solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

4) HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
tidak berdusta, sentiasa berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat-menasihati.

5) HAK KEPADA MIZAN (Neraca timbangan amal pada hari akhirat)
menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

6) HAK KEPADA SIRAT (Titian yang merentangi neraka pada hari akhirat)
membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

7) HAK KEPADA MALIK (Penjaga neraka)
menangis lantaran takutkan ALLAH S.W.T, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperbaiki akhlak.

8) HAK KEPADA RIDHWAN (Penjaga syurga)
berasa redha dengan Qada' ALLAH, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat ALLAH dan bertaubat dari melakukan maksiat.

9) HAK KEPADA NABI MUHAMMAD S.A.W
berselawat ke atas Baginda, berpegang kepada syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari keredhaan ALLAH.

10) HAK KEPADA ALLAH S.W.T
mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Sabda Rasulullah S.A.W: "Sampaikanlah pesanku biarpun dengan sepotong ayat"