Sunday, October 24, 2010

Sang Arnab dan Sang Kura-Kura The Return

30 tahun lalu, Sang Arnab kalah dalam perlumbaannya dengan Kura-Kura. Sang Arnab sangat malu bukan kepalang akibat sifatnya yang bongkak itu. Sampaikan kisah kekalahannya di tayangkan berulang kali di Stesen TV Sang Kancil yang kuat menipu itu.

Mujurlah Sang Arnab itu kuat larinya. Boleh lah lari jauh membawa dirinya yang telah malu itu ke benua yang lain.

Di benua baru itu, Sang Arnab bermuhasabah diri sedalam-dalamnya. Mengalir air mata keinsafan di matanya yang memang berwarna merah sejak azali.

Di sanalah Sang Arnab menemui kehidupannya yang baru. Sang Arnab telah ditemukan pasangannya di bumi hijrahnya itu.

Lahirlah Anak Sang Arnab yang selayaknya dipanggil Sang Arnab juga. Sang Arnab mendidik Anak Sang Arnab menjadi makhluk yang tawaduk agar tidak mengulangi kesilapan sepertinya.

Sampailah satu ketika anak Sang Arnab meminta izin untuk mengembara. Mahu juga dia melihat kampung halaman tempat 'Abi'nya diaibkan yang sebenarnya memang akibat bongkak 'Abi'nya dahulu. Sememangnya Sang Arnab sangat2 menyesali hidup silamnya,tiada apa yang disorok untuk anaknya, semata-mata mahu anaknya mengambil pelajaran.

Dengan fitrah arnab kurniaan Pencipta, sekejap saja, sampai lah anak sang arnab ke kampung lama Abinya dahulu. Dan nak disedapkan cerita, berjumpalah Anak Sang Arnab dengan generasi baru sepertinya, Anak Sang Kura-Kura. Dah dapat gelaran baru sebenarnya, Dato' Sang Kura-Kura.

Anak Sang Arnab gembira berjumpa generasi sebayanya. Niat di hatinya, dengan generasi baru ini, lupakan saja perbezaan bapak-bapak mereka yang melarat 30 tahun lamanya. Berkawanlah yang lebih baik untuk dia dan anak Sang Kura-Kura.

Akan tetapi, Anak Sang Kura-Kura sudah lupa diri. Atau dia memang tak tahu bagaimana sebenarnya abahnya yang lembap itu boleh menang. Entahlah..

Abahnya seorang wira, abahnya dah dapat dato'. Apa kelasnya nak berkawan dengan Anak Sang Arnab yang kalah ini? Dah la kalah, berdosa pula tu, bongkak!!! Terkejut besar Anak Sang Arnab atas penolakan persahabatan oleh Anak Sang Kura-Kura.

Persahabatan yang dihulurkan, perlawanan pula yang di balas. Sang Kura-Kura mencabar Sang Arnab berlumba dengannya Seperti bapak-bapak mereka dahulu. Anak Sang Arnab yang telah dididik Abinya menjadi seorang yang tawaduk, menolaknya dengan baik. Tetapi dengan kuasa Anak Dato' yang dimiliki Anak Sang Kura-Kura, perlawanan paksa itu tetap diadakan juga. Terpaksalah Anak Sang Arnab memenuhinya demi menjaga adab di tempat orang.

Dengan Tembakan Pistol pengampu-pengampu anak Dato' Kura-Kura itu, berlumbalah mereka di atas trek yang sama digunakan ayah-ayah mereka 30 tahun dahulu. Dan zaman telah berubah. Allah Maha Penerima Taubat. Allah senantiasa membela yang benar.

Dengan Penuh rasa kehinaan kerana merasa dirinya adalah hamba, Anak Sang Arnab berlumba dengan penuh fokus. Sementara Anak Sang Kura-Kura yang pada mulanya bongkak di awal perlumbaan kini berlumba dengan penuh susah payah dan kehairanan, hakikatnya fitrahnya yang lembap itu memang tidak boleh berlari laju pun!!!

Tersenyum saja generasi bapak-bapak mereka yang menonton perlumbaan itu. 30 tahun dahulu, bapa Sang Kura-Kura menang perlumbaan bukan kerana berapa laju dia lari, tetapi kerana tingginya tawaduk bapanya.

Hari ini, alangkah malangnya. Anak Kura-Kura tidak kenal dirinya, dia lupa kekalahan Sang Arnab dahulu adalah kerana sifat bongkaknya. Hari ini, kekalahan itu berbalik kepada dirinya, beralaskan sifat yang sama, sifat bongkak yang melampau.

Moral 1: Jangan bangga sangat dengan pencapaian keturunan kita. Hakikatnya kita sendiri belum tentu boleh atau tidak member pencapaian yang sama.

Moral 2: Orang agresif yang bertaubat insyaAllah berpotensi menjadi manusia yang lebih hebat asalkan ditambah lagi dengan sifat tawaduk.

Moral 3: Kenali diri anda.

Moral 4: Orang yang sudah la lemah, bongkak pula. Memang mengundang kemurkaan Allah..

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud, "DAN janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri." (Luqman: 18)

No comments:

Post a Comment